UMNO Simpang Renggam Tutup Segenap Ruang Dari Dicerobohi Pembangkang

SIMPANG RENGGAM, 8 Sept – Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Abd Hamid Abd Rahman berkata, pihaknya kini lebih memberi perhatian kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menyapu bersih kemenangan di kawasan itu pada pilihanraya umum akan datang.

Katanya, ini kerana jentera pilihan raya dapat mengesan pembangkang cuba mengelirukan masyarakat di kawasan tersebut memandangkan DUN Layang-Layang majoritinya adalah pengundi Cina dan India.

“Kita dapat mengesan pembangkang cuba mempengaruhi pengundi Cina dan India dengan ideologi membenci kerajaan. Bagi memastikan masyarakat di sana tidak terpengaruh dengan pembangkang, kita mendekati mereka melalui akar umbi. Malah saya juga mendekati mereka melalui ketua agama masing-masing.

“Kita tidak mahu mereka terpengaruh dengan muslihat pembangkang. Walaupun Simpang Renggam adalah satu kawasan bonus buat BN dan UMNO tetapi kita tidak boleh leka. Sekiranya kita tersalah langkah atau alpa, sudah pasti pembangkang akan mengambil kesempatan dan meracuni fikiran rakyat dengan segala tipu muslihat mereka,” ujarnya.

Selain itu katanya, satu gerak kerja mendaftar pengundi baru juga akan dilakukan secara besar-besaran dalam masa terdekat ini.

Beliau menyedari, masa yang tinggal sudah terlalu suntuk kerana pada bila-bila masa Parlimen boleh dibubarkan.

“Mungkin hujung tahun ini atau tahun depan kita akan menghadapi PRU 13. Kita harus lebih agresif di saat-saat terakhir ini demi memastikan BN terus menerajui pucuk pimpinan negara. Apa yang penting, kita juga harus mengembalikan maruah parti dan menebus kembali kekecewaan semasa PRU lalu.

“Kita yakin, Simpang Renggam mampu mengekalkan ke semua kerusi tetapi sasaran saya adalah menambah bilangan majoriti. Kejayaan pasti akan lebih manis sekiranya majoriti kemenangan dapat ditambah dengan baik,” jelas Abd Hamid.

Ketika di tanya mengenai strategi mendekati pengundi, beliau menjelaskan, semua sayap di bahagian Simpang Renggam berganding bahu untuk memastikan kepercayaan rakyat terhadap parti terus kukuh.

Walaupun mengakui menghadapi sedikit masalah dengan parti komponen BN namun ianya bukan satu masalah besar yang harus dijadikan halangan dalam usaha mendekati rakyat.

Selain itu katanya, beliau tidak menolak soal calon juga memainkan peranan di dalam PRU 13 kelak.

“Semua sedar bahawa PRU akan datang bakal mencatat satu persaingan yang amat sengit. Sekiranya dahulu kita amat yakin walaupun meletakkan siapa sahaja sebagai calon tetapi namun dalam senario politik masa kini, perkara ini tidak boleh di pandang remeh.

“Calon harus di nilai dengan baik dan benar-benar berkelayakan. Tidak kisah calon tersebut dari UMNO mahupun parti komponen tetapi ianya haruslah mengikut kehendak rakyat. Sekiranya tersilap calon, ianya bakal mengundang kekalahan walaupun di kerusi y ang kita yakin menang. Oleh itu, soal calon kini adalah antara perkara penting yang harus dititik beratkan,” jelasnya lagi. –MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita