Antara Perjuangan Dato’ Onn Jaafar Dan Mat Indera…

KLUANG, 9 Sept – “Dato’ Onn Jaafar dan Mat Indera, kedua-duanya mempunyai perjuangan yang sama. Kedua-dua tokoh ini berjuang untuk memerdekakan negara kita dari penjajahan tetapi seorang berjuang dengan cara diplomatik dan tanpa kekerasan dan akhirnya berjaya.

dato-onn-jaafar-pengasas-umno-pejuang-merdeka-malaysia

“Manakala seorang lagi berjuang dengan cara gerila dan bersekongkol bersama komunis, dan akhirnya perjuangan mereka gagal dalam memberikan kemerdekaan kepada tanahair kita”, ujar Exco Penerangan, Belia Dan Sukan Negeri Johor, Md Jais Sarday.

Jelas beliau lagi sememangnya tidak boleh dinafikan mereka berjuang untuk kemerdekaan tanahair, tetapi Dato’ Onn berjuang tanpa mengorbankan nyawa manusia selain mendapat sokongan Raja-raja Melayu dan sokongan rakyat hingga tertubuhnya UMNO yang menjadi perintis kepada kemerdekaan tanahair.

“Perjuangan Dato’ Onn diteruskan Tunku Abdul Rahman selaku Presiden UMNO kedua yang telah memberikan kemerdekaan kepada kita pada 31 Ogos 1957, manakala perjuangan Mat Indera yang bermula dari Angkatan Pemuda Insaf (API) yang akhirnya membawa beliau ke dalam hutan, dan bersekongkol dengan komunis merupakan satu perjuangan yang sia-sia”, katanya.

Dalam masa yang sama, tegas beliau lagi semua pihak tidak boleh menafikan bahawa orang yang mengarahkan serangan hingga kepada kematian semua anggota polis di Balai Polis Bukit Kepong ialah  Mat Indera.

“Mat Sabu jangan buat-buat lupa, semua anggota polis itu merupakan anggota polis berbangsa Melayu dan beragama Islam yang menjadi mangsa kepada Mat Indera yang mereka war-warkan bukan ahli Komunis,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang, Johor.

Ujarnya, kenyataan yang mengatakan bahawa Mat Indera bukan ahli komunis tidak boleh diterima memandangkan Presiden Parti Komunis Malaya, Abdullah CD dalam buku yang ditulisnya sendiri, Memoir Abdullah CD mengatakan bahawa Mat Indera merupakan Ketua Regimen ke-4 Komunis Melayu Johor.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak agar pihak Kementerian Dalam Negeri menangkap segera Mat Sabu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memandangkan tindakan Mat Sabu yang menghasut dan menimbulkan ketidak teraman dalam negara. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita