Jangan Terpedaya Dengan Percubaan Ubah Sejarah Negara

ALOR SETAR, 10 Sept – Seorang bekas anggota polis yang pernah ditugaskan membantu mempertahankan serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong menasihati golongan muda agar tidak terpedaya dengan percubaan tidak bertanggungjawab untuk mengubah sejarah sebenar negara ini.

Ahmad Md Arif, 80, ketika memberi nasihat itu turut menyelar Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang menyifatkan Mat Indera yang terlibat dalam serangan itu sebagai wira negara.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata kenyataan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu tidak boleh diterimanya setelah dia sendiri melihat mayat rakan-rakan anggota polis bergelimpangan di sekitar balai polis itu setelah dibunuh oleh komunis.

Ahmad berkata ketika itu dia bersama 30 anggota dari balai Polis Muar telah dikerah ke balai Polis Bukit Kepong untuk memberi bantuan.

“Bila Mat Indera kena tangkap saya cukup gembira dan perasaan marah terhadapnya atas perbuatanya itu tidak pernah hilang,” kata Ahmad, berasal dari Kedah, yang berkhidmat dengan Polis sejak 1949 hingga waktu persaraannya.

Seorang lagi bekas anggota polis, Datuk Gurdail Singh a/l Karpal Singh, 79, berkata kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohamad Sabu kerana beliau telah mengguris hati bekas anggota Polis dan keluarga anggota yang terbunuh di Bukit Kepong.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita