Pesara Polis Masih Berdendam Dengan Komunis, Kesal Dengan Kenyataan Mat Sabu

BANDAR BAHARU, 11 Sept – Seorang pesara polis Zakaria Ahmad, 66, melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang mengangkat anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wira sebenar tragedi Bukit Kepong.

Beliau yang pernah mengalami dua peristiwa berdarah angkara serangan komunis sehingga mengorbankan 17 anggota polis dan mencederakan 56 lagi di dua lokasi 36 tahun lalu, masih menyimpan dendam yang membara terhadap pengganas itu.

“Kami yang mengalami sendiri bertembung dengan pengganas komunis dalam tugas lebih mengetahui betapa perit-jerih demi mempertahankan maruah negara ini dan membolehkan rakyatnya tidur nyenyak dan aman menjalankan kehidupan seharian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di kampung Paya Dahanan, Permatang Simpor dekat sini, hari ini.

Bekas Sub Inpektor itu bersama anggota platunnya diserang hendap komunis ketika mengiringi pasukan Topograpi Jabatan Ukur Malaysia untuk mengukur sempadan Malaysia-Thailand di kawasan di Ban Kubu, Sadao, Selatan Thailand pukul 8 pagi pada 18 Jun 1975.

Katanya, sikap komunis kejam yang tidak memilih mangsa menyebabkan 15 orang terkorban termasuk lapan anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), tiga kakitangan Jabatan Ukur dan empat anggota polis Thai, manakala lima orang cedera.

“Mereka menggunakan taktik jerangkap samar dengan tidak kurang 300 lubang antara dua bukit ketika rombongan pasukan keselamatan dan kumpulan juru ukur menjalankan tugas mereka,” kata Zakaria.

Peristiwa kedua ditempuhinya kira-kira tiga bulan selepas serangan hendap pengganas komunis itu apabila dua platun anggota PPH diserang anasir subversif dengan lontaran dua butir bom tangan ketika sedang menjalankan senaman pagi di Kem Briged Tengah di Kuala Lumpur pada 5 September 1975.

Katanya, seramai dua anggota maut dan 48 yang lain cedera dan nama Zakaria dicatatkan sebagai salah seorang yang ‘meninggal dunia’ walaupan ketika kejadian dia sedang bertugas di bahagian Perubatan di sebuah bangunan berhampiran tempat kejadian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita