Ribuan Rakyat Bertemu Perdana Menteri Di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM, 11 Sept – Hujan lebat sejak awal pagi tidak menghalang lebih 25,000 orang pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka 2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu (SMKGP), di sini hari ini.

Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan kaum itu mengambil kesempatan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di padang sekolah berkenaan pada pukul 12 tengh hari diiringi oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Najib mengambil masa lebih setengah jam memasuki ruang utama tetamu kerana bersalam-salaman dengan ribuan pengunjung yang membanjiri kawasan sekolah berkenaan.

“Saya rasa sungguh meriah, kita dapat beraya bersama-sama hari ini,” katanya.

Perdana Menteri secara berseloroh berkata kedatangan beliau ke Pulau Pinang kali ini disambut dengan pelbagai jenis bendera.

“Saya disambut pelbagai jenis bendera ada bendera negara, biru tua dan biru laut seolah-olah esok pilihan raya tetapi hari ini bukan kerana pilihan raya tetapi kita berkumpul untuk berhari raya,” katanya yang disambut sorakan daripada pengunjung yang hadir.

Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan rombongannya yang turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu.

Selesai ucapan perasmian, Perdana Menteri memukul beduk sebanyak tujuh kali sebagai gimik pelancaran majlis rumah terbuka berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri bersama pemimpin lain berkunjung ke rumah Nor Asmah Othman,41, seorang suri rumah yang terpaksa bekerja untuk menyara enam orang anaknya yang masih bersekolah di kampung Padang Ibu ekoran suaminya mengalami sakit kulit kronik.

Selesai bertanya khabar dan menjamu selera dengan juadah yang disediakan Nor Asmah iaitu tepung goreng cendawan masala dan pek-nga (lempeng kelapa), Najib menaiki sebuah teksi untuk ke padang SMKGP untuk menyertai majlis berkenaan.

Najib yang dibawa dengan sebuah teksi jenis Proton Wira yang disewa khas dari rumah Norasmah disambut meriah kumpulan generasi muda, veteran dan pelbagai anggota persatuan sukarela dengan paluan gendang pelbagai kaum yang dikenali sebagai Gendang 1Malaysia serta laungan merdeka.

Majlis dimulakan dengan persembahan Kumpulan Boria Veteran dan Kanak-kanak diikuti ucapan aluan oleh Dr Rais dan Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan seterusnya ucapan Perdana Menteri.

Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Merdeka Pulau Pinang kepada empat tokoh yang mewakili tiga kaum utama di negeri ini.

Mereka ialah pemimpin tempatan Datuk Md Noor Ahmad, bekas Pesuruhjaya Wakaf Hindu Pulau Pinang Datuk A.Subramaniam, bekas Pengarah Urusan akhbar Kwong Wah Yitt Poh Datuk Oon Choo Eng dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang Datuk Seri Mohd Yusoff Abdul Latiff.

Najib turut menyampaikan sumbangan bungkusan barangan keperluan asas kepada 10 orang golongan kurang berkemampuan dan menyampaikan Netbook 1Malaysia kepada 10 pelajar cemerlang.

Sebelum meninggalkan majlis Perdana Menteri turut melawat gerai yang menyediakan pelbagai makanan untuk pengunjung hari ini.

Antara juadah istimewa yang disediakan ialah nasi daging, lemang, ketupat palas, sate, pasembor, laksa utara, char kuey tiow dan rendang ayam, daging serta kambing.

Sementara itu, seorang pengunjung Harun Abdullah, 76, berkata beliau yang kurang sihat menunggang motosikal seorang diri dari Merbau Kudung dekat sini hanya untuk melihat Perdana Menteri.

“Pakcik tunggang motosikal lebih kurang setengah jam hanya untuk mai (datang) rumah terbuka hari ini, depa (mereka) kata Perdana Menteri pun mai tu yang pakcik berusaha juga mai.

“Walaupun hanya nampak beliau (Najib) dari jauh, tapi saya lega dan rasa bertuah dapat tengok, ini kali pertama dapat tengok Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita