Generasi Muda Diajak Isi Kemerdekaan Dengan Menjadi Penggerak Negara

KUALA PENYU, 12 Sept – Generasi muda diajak agar  menjadi golongan yang tahu bersyukur terhadap kemerdekaan dan menghargainya kerana kebebasan itu tidak mudah untuk dicapai.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, cara untuk mereka menghargainya ialah dengan mengisi kemerdekaan dan memajukan diri serta negara dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Generasi muda, ujar beliau, harus bertanggungjawab untuk mengekalkan kemerdekaan yang diperoleh dan memastikan negara tidak lagi dijajah dalam apa jua bentuk.

“Generasi muda perlu diasuh dengan teladan yang baik dan diberikan penghayatan untuk menjadi warganegara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Generasi muda perlu disedarkan akan peranan mereka sebagai penggerak negara.

“Generasi muda boleh membuktikan bahawa mereka juga patriotik dengan kaedah dan cara mereka sendiri mengikut keadaan semasa”,  katanya.

Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata demikian semasa berucap pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Kemerdekaan anjuran Pergerakan Puteri UMNO bahagian Beaufort di kampong Berangkok dekat sini kemarin.

Sehubungan dengan itu Lajim menyeru generasi muda serta rakyat di negara ini supaya bersedia dan sanggup berkorban bagi mengatasi segala cabaran untuk membolehkan Malaysia terus maju dan membangun.

Tegasnya tugas generasi muda pada masa ini lebih tertumpu kepada memberi sumbangan menjadikan negara Malaysia cemerlang.

“Generasi muda ialah menghayati nilai-nilai positif dengan menjauhi penagihan dadah, tidak terlibat dengan gejala sosial, menjauhi kegiatan militan dan juga menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Generasi muda perlu mewujudkan satu bentuk pemikiran yang sanggup meneroka dan memperluaskan kemampuan keluar daripada paradigma yang sedia ada dengan memberanikan diri mereka memasuki bidang-bidang yang dahulu dianggap sebagai di luar kemampuan, ” jelas Lajim.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita