Usah Salahkan BN, Isu Bukit Kepong Isu Yang Diciptakan Pas Sendiri

BAGAN DATOH, 12 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menolak dakwaan Pas kononnya Barisan Nasional (BN) sengaja memperbesar-besarkan isu Bukit Kepong untuk menutup “segala penipuan pilihan raya yang telah dirancang”.

Dakwaan itu dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan tindakan BN itu bertujuan memastikan kemenangannya dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Adalah tidak adil menuduh dan mempersalahkan BN kerana ia (kontroversi Bukit Kepong) ditimbulkan oleh pemimpin Pas sendiri,” katanya.

Timbalan Presiden Pas,  Mohamad Sabu mencetuskan kontroversi itu bila beliau menyifatkan Mat Indera dan anggota komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai wira negara.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat boleh menilai tindakan pembangkang yang gemar menyerang pelbagai institusi negara semata-mata untuk gimik politik mereka.

Berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap Mohamad Sabu atau Mat Sabu, Hishamuddin berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak sesuai dikenakan kepada ahli politik selagi ia tidak mengancam keselamatan negara.

“Bila politik digunakan untuk memecah-belahkan perpaduan dan keselamatan negara, mereka merupakan pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Hishammuddin menegaskan sebarang tindakan akan ditentukan oleh Peguam Negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita