Apakah Nik Aziz Lebih Tinggi Darjatnya Daripada Nabi?

KUALA LUMPUR 14 Sept –Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sekali lagi cuba menonjolkan dirinya sebagai seorang yang mengetahui apa sahaja termasuk membabitkan perkara dosa dan pahala serta balasan bakal diterima ketika di akhirat nanti.

Ini menunjukkan Nik Aziz cuba memberitahu orang ramai bahawa beliau mempunyai kedudukan tinggi dan mungkin melebihi kedudukan Nabi berikutan kemampuannya mengetahui balasan bakal diterima oleh setiap manusia selepas mati.

Sedangkan kalangan ahli agama dan bijak pandai menyatakan bahawa Nabi sendiri tidak dapat menentukan apakah balasan bakal diterima oleh umatnya di akhirat, kecuali memgingatkan umatnya supaya mereka  beramal dan mengikut segala perintah Allah supaya mendapat balasan di syurga.

Manakala bagi mereka yang ingkar serta melanggar perintah Allah, ia akan di tempatkan di dalam neraka, berbanding dengan Nik Aziz yang menyatakan bahawa segala usaha yang dilakukan oleh UMNO adalah sia- sia kerana tidak mendapat balasan baik kerana apa yang dilakukan itu melanggar syariat Islam.

Mengulas perkara tersebut Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman menyifatkan apa yang dilakukan Nik Aziz itu  antara usahanya mengelirukan orang Melayu  dengan mengeluarkan satu lagi fatwa baru dengan memburuk-burukkan UMNO, walaupun banyak sumbangan dilakukan oleh UMNO untuk agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh Nik Aziz itu bukanlah suatu yang baru kerana sebelum ini beliau pernah mengeluarkan pelbagai fatwa mengelirukan hanya untuk memancing undi di musim pilihan raya.

“Fatwa Nik Aziz bukan cerita baru, sudah pelbagai fatwa dikeluarkannya untuk mengelirukan pengundi, semua ini sering berlaku ketika musim pilihan raya, tujuannya  untuk mengeliru dan menakut-nakutkan pengundi.

“Sejak daru dulu lagi, Nik Aziz akan mengatakan apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO semuanya tidak mengikut syariat, semua perkara membabitkan UMNO, semuanya berdosa, tetapi jika Pas buat perkara yang sama boleh pula, ikut syariat dan tidak berdosa,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz yang menuduh perjuangan atau gerak kerja UMNO  tidak selari dengan syariat Islam dan  usaha menawan semula Kelantan daripada Pas adalah suatu sia-sia kerana tidak mendapat balasan  baik di akhirat

Begitu juga dengan fatwanya dahulu, bahawa kerjasama UMNO dengan MCA dan MIC adalah suatu perbuatan yang berdosa kerana berbuat baik dan bekerjasama dengan orang kafir.

Tetapi apabila Pas melakukan perkara serupa dan bekerjasama dengan DAP menubuhkan pakatan pembangkang, ia tidak pula menjadi suatu kesalahan malah Nik Aziz mengatakan perkara itu dituntut oleh Islam.

Hamidah berkata, rakyat sudah mengetahui dengan apa yang dilakukan Nik Aziz dan rakyat  tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan itu kerana ia adalah fatwa politik sahaja. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita