Laporan Penuh Perhimpunan Haram Bersih Sudah Diserahkan Kepada Menteri KDN

KANGAR, 14 Sept – Laporan penuh berkaitan pelbagai tuduhan terhadap polis semasa perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 (Bersih 2.0) di ibu negara pada 9 Julai lepas telah dikemuka kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata laporan yang dikemukakan itu hasil siasatan yang dilakukan oleh enam jawatankuasa yang dibentuk dan Ismail berkata beliau berpuas hati dengannya.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang dilanda banjir di Perlis hari ini, beliau berkata laporan itu akan dikemukakan oleh Hishammuddin kepada mesyuarat Kabinet.

Ditanya sama ada laporan siasatan itu akan diumumkan kepada orang ramai, Ismail berkata ia bergantung kepada keputusan Kabinet kelak.

Mengenai kenaikan pangkat anggota-anggota polis di Perlis, beliau berkata sebanyak 52 anggota berpangkat lans koperal telah dinaikkan pangkat kepada koperal secara serta-merta manakala enam orang sarjan mejar dinaikkan pangkat kepada sub inspektor.

Katanya walaupun angka kenaikan pangkat itu kelihatan kecil namun bagi negeri Perlis, kelulusan kenaikan pangkat itu adalah tinggi peratusannya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita