Laporan Dakwaan Terhadap Polis Dibentangkan Ke Kabinet Minggu Depan

IPOH, 15 Sept – Laporan penuh berkaitan pelbagai tuduhan terhadap polis semasa perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil di ibu negara pada 9 Julai lepas akan dikemukakan kepada Kabinet minggu depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah memberi taklimat kepada beliau mengenai laporan itu baru-baru ini.

“Saya telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara dan beliau menyatakan had dan perimeter siasatan yang dilakukan,” katanya selepas menghadiri jamuan Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Mes Pegawai di sini hari ini.

Hishammuddin berkata beliau akan meminta Kabinet membuat keputusan supaya laporan itu diumumkan kerana pihaknya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.

Semalam, Ismail menyatakan laporan yang dikemukakan itu hasil siasatan yang dilakukan oleh enam jawatankuasa yang dibentuk dan beliau berpuas hati dengannya.

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat enam tuduhan terhadap pasukan polis yang kononnya bertindak ganas semasa perhimpunan haram itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita