Pentingnya Minda Terbuka, Kritis Hadapi Fahaman Komunisme

MEDAN, 15 Sept. – Pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara mesti sentiasa berhati-hati dan waspada terhadap putar belit dan aliran-aliran yang bertentangan dengan budaya dalam masyarakat termasuklah fahaman komunisme yang cuba dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK),  Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata pemikiran yang energetik amat penting khususnya apabila bertemu dengan tamadun-tamadun yang lain di dunia ini.

“Cubaan mahu membawa fahaman komunisme yang telah pun runtuh sebagaimana runtuhnya tembok Berlin pada tahun 1989 tetapi kini mahu dijadikan idealogi dan diagung-agungkan oleh segelintir manusia di negara kita. Mereka cuba mengangkatnya sebagai penentu kestabilan politik negara sedangkan kestabilan tersebutlah kekuatan negara kita,” katanya.

Beliau mengetuai delegasi seramai 90 orang Ahli Majlis Tertinggi MUBARAK dalam rangka Lawatan Persahabatan ke Medan selama empat hari bermula 14-17 September ini.

Jelas beliau lagi, apa yang dikatakan oleh Timbalan Presiden Pas iaitu Mat Sabu bahawa komunisme semasa mahu mencapai kemerdekaan adalah melahirkan hero-hero bangsa adalah tidak benar kerana ia bukanlah idealogi tetapi keganasan untuk merampas kuasa.

“Isu sebenar telahpun diputarbelitkan dengan mengatakan komunisme yang mereka perjuangkan dengan menentang anggota polis di Bukit Kepong dikatakan sebagai lebih hero daripada Sarjan Hassan sedangkan fahaman komunisme hancur sehinggakan Rusia memeluk demokrasi liberal dan pasaran terbuka dan China yang sungguh pun mengamalkan idealisme komunis telah menuntut pasaran terbuka tetapi di Malaysia, Mat Sabu berkata sebaliknya.”

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama 750 orang pelajar dan juga anggota Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Mubarak bersama para pelajar Malaysia di Hotel Tiara, Jalan Chutmutiah malam tadi.

“Empayar masa depan adalah empayar minda maknanya pemikiran kita mesti terbuka dan jangan dikongkong dengan fantasi dan sebagainya tetapi bersikap holistik dan menyeluruh bukan saja dari segi ilmu tapi juga dari segi permuafakatan dan kepimpinan maka barulah kita dapat melahirkan insan yang mempunyai profesion berakhlak serta nilai kepimpinan di masa depan.

“Persaingan kita di peringkat global menyerlah di seluruh dunia, dan di seluruh Asean mendapat perhatian sebagai negara utama. Mereka tertarik dengan Malaysia kerana kestabilan politik kerana sekiranya negara kita kucar-kacir maka tak mungkin pelabur-pelabur dari negara luar akan datang ke Malaysia,” katanya.

Jelasnya lagi,  kestabilan politik akan menentukan tarikan kepada sesebuah negara jadi apa yang diwujudkan oleh pemimpin-pemimpin kita sejak zaman Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Pertama 54 tahun lalu dan kemudiannya Datuk Seri Najib Tun Razak  menentukan wujudnya kesinambungan bagi kestabilan politik satu bangsa Malaysia.

“Tuntutan Rukun Negara di Malaysia adalah ke arah 1Malaysia sebagaimana tujuannya untuk mengekalkan kestabilan politik kita dengan kekuatannya ialah kepelbagaian dalam bangsa, agama dan budaya di Malaysia yang kemudiannya diikat dalam satu payung atas satu identity.

“Di sinilah orang akan mengambil kesempatan, sebagaimana semasa perhimpunan Bersih 9 Julai lalu, ada orang bawa sepanduk mahukan sosialisme tetapi lebih kepada komunisme.”

Tegasnya pelajar-pelajar mesti faham bahawa aliran komunisme bukan sahaja bertentangan dengan agama tetapi jelas ia telah kalah di dalam arus perdana perjuangan politik antarabangsa, sebab itulah setelah tidak ada perjuangan komunisme maka orang barat cari pula bagaimana untuk mewujudkan kekacauan yang kemudiannya Islamfobia diwujudkan.

“Apabila tidak ada komunisme maka Islam dijadikan sasaran oleh orang barat. Kita perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan unsur-unsur sedemikian.”

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Konsul Jeneral Malaysia-Medan, Norlin Othman dan anggota Majlis Tertinggi Mubarak.  – MediaUMNO

(Laporan Editor UMNO-Online, Ropikah Ahmad & Jurugambar,  Zainul Asri Mohamed Razali Yang Kini Turut Menyertai Delegasi MUBARAK Dalam Rangka Lawatan Persahabatan ke Medan Selama Empat Hari Dari 14-17 September).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita