Selangor Makin Caca Merba, Exco Negeri Rampas Kuasa Menteri Besar

KUALA LUMPUR 15 Sept – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat seolah-olah sekadar “patung” yang duduk di kerusi empuk Menteri Besar negeri itu dan pihak lain pula yang mentadbir negeri.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohamimi Shahdan berkata perkara itu timbul setelah lahirnya cadangan oleh Exco kerajaan negeri, Dr Xavier Jayakumar untuk memperkenalkan klasifikasi kontraktornya sendiri dan mengeluarkan lesen kelas F kepada bumiputera dan bukan bumiputera.

Menurut beliau apa pun cadangan yang berkenaan sewajarnya diumumkan oleh Menteri Besar dan bukannya mana-mana pihak lain kerana perkara itu melibatkan dasar dan pelaksanaan kerajaan negeri Selangor.

“Saya tertanta-tanya apakah peranan Tan Sri Khalid sebagai peneraju kerajaan negeri..Apakah beliau hanya MB “rubber stamp” yang hanya akan mengiyakan apa-apa cadangan yang telah diumumkan kepada orang ramai.

“Nampak di sini, Exco tersebut tidak menghormati Tan Sri  Khalid apabila mendahului peranan sebenar Menteri Besar di dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai peneraju kepada kerajaan Selangor. Ini amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Isnin lalu, Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata kerajaan negeri bercadang mengeluarkan lesen kelas F sendiri kepada kontraktor bumiputera dan bukan bumiputera.

Xavier berkata tindakan itu sebagai usaha memberi peluang sama rata dan lebih menyeluruh kepada semua syarikat-syarikat kontraktor dan ia telah dicadangkan pada mesyuarat Exco tertutup.

Sohaimi yang juga Ketua Pemuda Selayang seterusnya mepersoalkan apakah motif sebenar Exco berkenaan yang sanggup bertindak sedemikian hingga seolah-olah menafikan peranan sebenar Tan Sri Khalid.

“Saya bercakap atas dasar yang betul dan benar…Kalau perkara ini tidak serius takkanlah Dr Hassan Ali yang juga Exco kerajaan negeri bersuara dalam hal ini apabila menyatakan MB adalah individu yang layak umum perkara tersebut.

“Jadi jelaslah kepada kita dan rakyat boleh melihat bagaimana Tan Sri Khalid seolah-olah diperlakukan seperti “patung” di kerusi empuk Menteri Besar. Saya tidak berniat untuk menimbulkan kemarahan kepada mana-mana pihak, namun ingin menyatakan perkara yang sebenar,” katanya. -MediaUMNO 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita