Gabenor Sumatera Utara Hargai Kunjungan MUBARAK

MEDAN, 16 Sept. – Hubungan Malaysia-Indonesia terus dipereratkan dengan menyemarakkan ikatan antara dua negara melalui kunjungan hormat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) kepada Gabenor Sumatera Utara, Indonesia.

Pemangku Gabenornya, H. Gatot Pujo Nogroho ST menghargai kunjungan hormat delegasi Ahli Majlis Tertinggi yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar ke pejabatnya pagi ini.

“Semoga pertemuan ini boleh menjadi pemacu awal untuk ketetapan yang panjang bagi Sumatera Utara dengan Malaysia dalam pelbagai aspek yang boleh dikongsi bersama dan kemudiannya dilanjutkan untuk membangun sebuah masyarakat yang besar di rantau Asia ini,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut, Presiden Mubarak turut menerangkan hasrat untuk mewujudkan satu alumni membabitkan bekas-bekas penuntut di Malaysia dan di Indonesia.

“Malaysia mempunyai seramai 1,600 pelajar di Sumatera Utara selain lebih 6,000 yang lain di sekitar Indonesia sementara pelajar Indonesia yang menuntut di Malaysia berjumlah lebih 14,000, jadi mereka ini boleh menjadi satu duta kecil bagi menjalinkan hubungan akrab antara dua negara tetangga,” katanya.

Dalam pertemuan yang berlangsung sekitar satu jam ini, kedua-dua pihak saling bertukar-tukar pandangan dalam menyelesaikan isu-isu semasa antara Malaysia dan Indonesia yang pada keseluruhannya sepakat bahawa budaya kedua-dua negara amat erat dan ia wajar dikongsi bersama dengan persefahaman yang utuh. – MediaUMNO

(Laporan Editor UMNO-Online, Ropikah Ahmad & Jurugambar,  Zainul Asri Mohamed Razali Yang Kini Turut Menyertai Delegasi MUBARAK Dalam Rangka Lawatan Persahabatan ke Medan Selama Empat Hari Dari 14-17 September).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita