Mansuh ISA Bukan Bermakna Tunduk Pada Pembangkang

MEDAN, 16 Sept. – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) bukan bermakna bahawa kerajaan tunduk kepada tekanan yang dibuatkan oleh pembangkang, kata Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Datuk Seri Abdul Aziz Rahman.

Katanya, biarpun ISA adalah antara perkara yang dijadikan isu untuk dihapuskan serta terkandung dalam agenda ‘buku jingga’ pembangkang tetapi pemansuhan ini telah rencanakan sejak awal lagi.

“Pembangkang kata dia menang walhal kerajaan sendiri telah memikirkan dan tentunya mengambil masa yang lama mencari idea cara mana bagi menggantikan akta ini tetapi kebetulannya ia adalah antara salah satu yang terkandung dalam buku jingga pembangkang,” katanya.

Selaras dengan itu, beliau mengharapkan agar rakyat sedar bahawa apa yang dilakukan kerajaan adalah sejajar dengan apa yang dibuat oleh negara-negara lain, misalnya Singapura dan negara-negara maju.

“Saya mengharapkan apa saja pembaharuan, pertukaran dan bentuk baru yang akan diganti nanti akan dapat mencapai matlamat yang sama untuk mengawasi sensitiviti negara dan tidak ada mana-mana pihak yang akan mengeksploitasi sensitiviti ini untuk memecah dan meruntuhkan keamanan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Jelasnya, setiap negara ada cara-cara nak mengatasi masalah seperti ini dan Malaysia sebagai negara bangsa yang membangun berteraskan slogan 1Malaysia akan terus menjadikan kepelbagaian kaum, multi etnik dan perbezaan agama serta budaya sebagai kekuatan.

“Perundangan yang ketat perlu terus ada bagi memastikan sensitiviti itu terus diambil kira, dapat dijaga dan tidak tergores tanpa mencetuskan kestabilan politik negara kerana sekiranya tiada tindakan dilaksanakan maka kita akan menempuh satu keadaan yang amat berbahaya.

“Selepas peristiwa 9 September banyak negara-negara lain menggunakan kuasa-kuasa seperti yang ada di negara kita iaitu ISA sebagaimana di Amerika Syarikat, United Kingdom dan sebagainya. Sebenarnya ISA digunapakai bagi mengelakkkan perkara-perkara yang boleh mencetuskan kehuru-haraan, jadi ianya tetap perlu walaupun digantikan dengan sesuatu yang baru tetapi matlamatnya tetap sama.”

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas mengetuai kunjungan hormat Ahli Majlis Tertinggi MUBARAK ke pejabat Gabenor Sumatera Utara yang menjadi antara agenda Lawatan Persahabatan anggota MUBARAK ke Medan selama empat hari. – MediaUMNO

(Laporan Editor UMNO-Online, Ropikah Ahmad & Jurugambar,  Zainul Asri Mohamed Razali Yang Kini Turut Menyertai Delegasi MUBARAK Dalam Rangka Lawatan Persahabatan ke Medan Selama Empat Hari Dari 14-17 September).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita