Tidak Berilmu Jadikan Manusia Bertindak Kurang Waras

MEDAN, 16 Sept. – Orang yang berilmu akan melihat dengan mata dan bertindak dengan akal serta berfikir dan memahami bagaimana sesuatu perkara itu terjadi sebelum melakukan tindakan-tindakan yang akan membawa kesan sebaliknya, kata Pengarah Program Mengubah Destinasi Anak Bangsa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Mohd Hanafiah Harun.

Katanya, apabila tidak ada ilmu maka berlakulah insiden sebagaimana ada individu yang menahan kereta Raja Muda Perak untuk meminta pindaan Perlembagaan dilakukan sedangkan dengan ilmu kewarasan akal fikiran akan membantu membawa keputusan yang wajar.

“Itulah akibat kerana ilmu tidak ada dalam jiwa maka mereka sanggup bertindak sedemikian. Jika kita tidak faham dengan tradisi ilmu maka kita juga akan jadi kagum dengan kebudayaan-kebudayaan barat dan tamadun lain,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di UiTM berkata demikian dalam Seminar Internasional Pemerkasaan Persaudaraan Dua Bangsa Serumpun bertajuk ‘Hubungan Sempena Tradisi Ilmu, Menilai Waktu’ yang diadakan di American Corner Gedung Perpustakaan, Institut Agama Islam Negeri Medan (IAIN) Sumatera Utara, hari ini.

“Kita mesti mempunyai ilmu yang tinggi kerana ia secara langsung akan dapat membantu membentuk masyarakat yang kental dan tidak mudak ditolak pemikirannya. Kesarjanaan dan ketinggian ilmu yang dikuasai suatu bangsa itu akan menentukan kesejahteraan dan kehidupan bangsa itu.

“Ilmu telah menjadi senjata yang paling ampuh hinggakan bangsa yang kurang ilmunya akan meminta-meminta dari bangsa lain.

Jelas beliau lagi, apabila kita mahu menjadi bangsa yang hebat maka kuasai ilmu dengan menguasai bahasa dan peradaban sebaliknya kegagalan untuk menguasai ilmu akan menjadikan bangsa lain sentiasa cuba untuk merampas hak kita.

“Semakin kita bertolak ansur maka semakin kita ditolak beransur-ansur,” katanya.

Turut sama membentangkan kertas kerja ialah Pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang juga bekas diplomat, Datuk Ahmad Mokhtar Selat dengan tajuk ‘Hubungan Malaysia-Indonesia:Langkah-langkah Memperkasakannya.

“Kedua-dua negara haruslah berfikiran lebih positif, perasaan saling mencurigai harus dikikis dan persamaan budaya harus digunakan sebagai landasan kerjasama dalam semua aspek atas semangat gotong-royong,” katanya.

Seminar tersebut turut menampilkan dua orang pembentang kertas kerja dari IAIN yang diwakili oleh Profesor Dr. Haidar Putra Daulay (Membangun Jaringan Kerjasama Cendekiawan) dan Profesor Dr Shahrin Harahap (Kerjasama Perguruan Tinggi Islam dan Kotradisinya Bagi Perkembangan Ilmu dan Pembudayaan)

Seminar tersebut disertai oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi MUBARAK yang berkunjung ke Medan dalam Program Lawatan Persahabatan dengan disertai oleh para pelajar Malaysia dan tempatan yang menuntut di IAIN. – MediaUMNO

(Laporan Editor UMNO-Online, Ropikah Ahmad & Jurugambar,  Zainul Asri Mohamed Razali Yang Kini Turut Menyertai Delegasi MUBARAK Dalam Rangka Lawatan Persahabatan ke Medan Selama Empat Hari Dari 14-17 September).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita