Biar Polis Siasat “Tangan Jahat” Mana Yang Naikkan Poster Kritik Anwar

ALOR SETAR, 19 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan penglibatan UMNO dengan pemasangan poster yang mengkritik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan logo Pas dan kerajaan negeri Kedah di beberapa kawasan di sekitar Alor Setar semalam.

Tegas beliau UMNO Kedah sendiri tidak bersetuju dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Kalau kita yang nampak poster-poster itu, kita juga akan buat laporan polis. Biar polis siasat dan kita akan ketahui ‘tangan jahat’ mana yang buat kerja itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan kononnya UMNO bertanggungjawab memasang poster berkenaan sempena kehadiran Anwar di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim sini semalam.

Poster itu yang mengkritik Anwar dan menggunakan logo Pas dan kerajaan negeri Kedah dipasang di beberapa tempat di sekitar Alor Setar.

Sementara itu, Ahmad Bashah mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana mengizinkan Barisan Nasional (BN) menggunakan stadium itu untuk majlis sambutan Aidilfitri 1Malaysia esok.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita