Buang Jalur Gemilang… Rakyat Perlu Nilai Sendiri Kredibiliti Pembangkang

PUTRAJAYA, 19 Sept – Rakyat di negara ini perlu sedar dan menilai sendiri kredibiliti pembangkang, yang ingin menukar Jalur Gemilang sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kenyataan seumpama itu merupakan satu penghinaan terhadap panji negara yang disanjung sekian lama.

“Selain tindakan undang-undang, rakyat juga perlu menilai sendiri dan memilih siapa yang layak untuk memerintah di negara ini,” katanya selepas Majlis Jamuan Hari Raya kementerian beliau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah daripada DAP, M. Manoharan dalam Facebooknya Jumaat lepas bahawa pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bagaimanapun kita tidak hairan dengan kenyataan Manoharan itu kerana kita percaya suatu hari nanti mereka akan menggunakan isu seperti itu untuk meraih publisiti rakyat terhadap mereka,” kata Shafei.

Beliau berkata isu kontroversi yang ditimbulkan itu turut memperlihatkan niat sebenar pembangkang bahawa mereka sentiasa berusaha menghapuskan warisan dan sejarah negara yang selama ini amat dipertahankan rakyat.

“Kita tahu niat pembangkang apabila mereka berkuasa mereka mahu membuang sebahagian daripada warisan kita. Mereka mahu menukar segala-galanya dan bukan setakat Jalur Gemilang sahaja,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita