Manoharan Singkat Akal, Perlu Lepaskan Jawatan Adun Kota Alam Shah

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Tindakan Adun Kota Alam Shah, M Monaharan yang mengesa supaya Jalur Gemilang ditukar kepada bendera lain boleh disifatkan sebagai pengkhianat dan tidak layak untuk menjadi seorang warganegara Malaysia.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata perbuatan itu adalah suatu pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara dan tindakan undang-undang perlu diambil terhadap Manoharan.

“Manoharan harus melepaskan jawatannya sebagai Adun, dia tidak layak menjawat jawatan kerana tidak memahamai perlembagaan dan undang-undang negara, ia suatu penderhakaan dan tidak layak menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

“Manoharan jangan jadi ahli politik. Anda tidak memahami apa sebenarnya sebuah negara, prinsip demokrasi dan tidak memahami tentang negara. Anda membawa bencana kepada negara ini,” katanya kepada UMNO-Online di Ibu Pejabat Wanita UMNO di sini.

Menurutnya, sebagai seoranga ahli politik Manoharan seharusnya memahami mengenai sesebuah negara, terutamanya negara ini yang mengamalkan prinsip demokrasi dan tidak seharusnya membuat kenyataan sesuka hati tanpa memikirkan sebarang kesan daripada apa yang dilakukan.

Katanya, Manoharan yang juga seorang pengamal undang-undang sepatutnya lebih arif apabila membicarakan sesuatu perkara yang membabitkan perlembagaan dan kedaulatan sesebuah negara.

“Manoharan sepatutnya tahu, bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara melalui perlembagaan yang digubal untuk menjadi sebuah negara yang berdaulat.

“Malaysia ini menjadi negara yang berdaulat dan simbolnya dilambangkan dengan bendera yang dinamakan Jalur Gemilang. Apabila kita ada sesuatu bendera yang dijadikan lambang kedaulatan negara maka kita perlu berikan tempat yang paling tinggi dan penghormatan yang tinggi.

“Kita ada undang-undang dan peraturan mengenai bendera. Bendera kita tidak boleh gunakan sesuka hati, dan selalu kena berada di tempat yang tinggi. Ia tentu sekali tidak ada langsung kuasa atau mempertikaikan corak bendera itu, apatah lagi hendak menukar bendera,” katanya.

Kamilia secara sinis berkata, walaupun Manoharan seorang peguam namun apa yang dilakukan itu membuktikan kedangkalannya mengenai ilmu kenegaraan dan mengesyorkannya supaya menyambung pelajaran untuk menambah ilmu pengetahuannya mengenai negara. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita