PM Beri ‘Ubat Mujarab’ Rampas Selangor

KUALA LUMPUR, 19 Sept. – Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohamad Satim Diman yakin misi untuk mengembalikan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan berjaya khususnya selepas mendapat suntikan semangat dari Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, pemimpin UMNO di Selangor telah menanamkan keyakinan dan berazam untuk mendapatkan kemenangan dalam Pilihan Raya ke-12 akan datang apatah lagi setelah mendapat ‘ubat mujarab’ dari Perdana Menteri.

“Jika kita sakit, kita perlukan ubat dan jika sakit masih berterusan maknanya tak mujarab jadi kita telah dapatkan ubat baru yang boleh menyembuhkan penyakit dan memastikan bahawa impian untuk mendapat kejayaan berada di tempat teratas,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Puchong menyambut baik ucapan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor semasa merasmikan Konvensyen BN Negeri tersebut Sabtu lalu yang menggesa semua pihak tidak memikirkan soal jawatan dalam parti sebaliknya memberikan fokus dan insaf untuk merampas kembali Selangor.

“Cukuplah masa tiga tahun berada dalam pentadbiran pakatan pembangkang dan pengalaman pahit tersebut adalah pengajaran terbaik yang menjadi manfaat bukan saja kepada ahli-ahli UMNO tetapi juga semua rakyat di negeri tersebut.

“Apa yang mahu diceritakan tentang Kerajaan Negeri sekarang ini, dari sandiwara bagi memastikan monopoli kuasa di tangan, menggadai rakan sekutu atau memperkudakan anggota yang lain, hinggalah kepada kandungan manifesto mereka yang tidak dapat ditunaikan, maka apa lagi yang kita harapkan selain daripada mengembalikan Selangor kepada pentadbiran BN,” katanya.

Jelas beliau, berlandaskan kepada Konvensyen BN Selangor kali pertama tahun lalu, yang kemudiannya berdepan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor dan hasilnya kawasan Parlimen tersebut kembali ke tangan BN.

“Kita berjaya mengaplikasikan apa yang direncanakan dalam konvensyen melalui PRK dengan gerak kerja bersama-sama, memberi sokongan padu ke atas calon BN dan memastikan semua pengundi menerima BN atas keikhlasan dan bukan sebaliknya.

“Kita buat konvensyen kali ini dan kita sematkan semangat untuk pastikan Negeri Selangor akan kembali kepada pentadbiran BN apatah lagi calon pembangkang di Kuala Selangor pun dah tinggalkan mereka jadi apa lagi yang mahu dibuktikan,” katanya.

Terangnya lagi, ahli-ahli UMNO di Selangor sedar bahawa cabaran untuk merealitikan impian tersebut tidak akan tercapai tanpa muafakat dan bersatu hati.

“Kita pastikan bahawa setiap anggota yang berjuang mempunyai niat jujur dan ikhlas dalam tindakan dan langkah yang diambil apatah lagi kita berpegang kepada akujanji tiada sengketa dalam BN sendiri serta parti-parti komponen.”

Sabtu lalu, Najib dalam ucapannya mahu anggota Barisan Nasional (BN) memberikan sokongan penuh kepada parti itu dan bukannya calon yang bertanding semata-mata jika mahu merampas kembali Selangor pada PRU akan datang dengan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan dan memilih calon sesuai untuk memberikan kemenangan dan mengembalikan Selangor kepada BN. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita