Tukar Bendara Jalur Gemilang, Pamir Mentaliti Kelas Ketiga Pemimpin DAP

KUALA LUMPUR, 19 Sept. – Pakatan pembangkang khususnya Dap sentiasa saja menimbulkan pelbagai perkara sensitif sebagai isu semasa sedangkan ia sebenarnya sekadar satu tindakan mencari populariti.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Safarizul Mustaffa membidas tindakan mereka yang selalu saja menimbulkan hal-hal remeh untuk menutup kesalahan mereka sendiri sebagaimana kontroversi yang melibatkan Teoh Beng Hock yang akhirnya mendedahkan tentang penyelewengan DAP dalam penyalahgunaan lesen Kontraktor Kelas F bagi mendapatkan projek-projek bernilai kecil yang diperuntukkan untuk kontraktor Bumiputera.

“Terkini, ADUN Kota Alam Shah, M.Manoharan cuba mencetuskan polemik dan kontroversi berhubung Jalur Gemilang, dan ini sebenarnya menunjukkan sikap sebenar DAP yang tidak pernah berubah sekalipun Pas secara cakap besar mengakui, DAP telah berjaya ditarbiahkan,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Jelas beliau, Manoharan dalam kes ini, enggan mengibarkan Jalur Gemilang, bahkan menghina bendera kebangsaan sambil mendewa-dewakan bendera DAP apabila bertindak mengedarkan bendera-bendera DAP di DUN yang diwakilinya.

“Manusia jenis apakah M.Manoharan ini yang langsung tidak mempunyai sebarang perasaan bangga terhadap bendera negara sendiri.

“Seburuk atau sehodoh mana pun bendera Malaysia di mata dan di hati M.Manoharan, tidak bolehkah dia mengenepikan sedikit sahaja sentimen kepartiannya itu dan menerima hakikat bahawa dia adalah salah seorang rakyat Malaysia yang simbol negaranya adalah Jalur Gemilang?” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang.

Terangnya, hanya kerana dikatakan Jalur Gemilang menyerupai bendera Amerika Syarikat, maka dia menyatakan secara berterus-terang Jalur Gemilang akan ditukar apabila Pakatan Pembangkang berkuasa kelak?

“Tidak menghairankan jika ini adalah manifestasi sebenar DAP yang diperkuatkan oleh barisan peguam-peguam mereka dalam bermain dengan sisi undang-undang di negara ini untuk mengubah Perlembagaan Negara?

“Belum lagi memegang kuasa, DAP sudah mahu menunjukkan keserakahan mereka. Bagaimana sekiranya DAP diberikan kuasa? ”, soalnya.

Tegasnya lagi, tindakan M.Manoharan yang sengaja mencetuskan polemik itu, sebenarnya menjelaskan bahawa Pakatan Pembangkang di Malaysia ini terlalu bergantung kepada gelagat populis bagi meraih perhatian.

“Adakah ini pembangkang atau bakal kerajaan yang diharapkan serta diperlukan oleh rakyat Malaysia? Dengan tahap pemikiran kelas ketiga seperti yang ditunjukkan oleh M.Manoharan, adakah rakyat Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang hanya pandai bermain retorik dan mencipta kontroversi, namun pada masa yang sama, tidak mampu memikirkan masalah rakyat secara lebih besar serta meluas?

“Mereka sudah pun mengambilalih peranan golongan penghibur atau artis-artis Malaysia yang kerapkali terpaksa menggunakan pendekatan kontroversi murahan bagi menaikkan rating dan ranking sendiri,” tambahnya lagi.

Katanya lagi, walaupun Manoharan telah memohon maaf dan menarik balik kenyataannya, ia sebenarnya sudah berbekas dan meninggalkan parut yang besar sekaligus memberitahu perangai jahat dan khianat yang ditunjukkan, umpama lahar yang menunggu masa untuk diledakkan.

“Disebabkan itulah, mereka bersungguh-sungguh mahukan kuasa bagi membolehkan apa sahaja kejahatan dan pengkhianatan pakatan pembangkang terhadap Malaysia, dapat dilaksanakan,” katanya. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita