Pengagihan Kerusi Yang Adil Untuk Parti Komponen BN Sabah

KOTA KINABALU, 20 Sept – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata beliau akan memastikan pengagihan kerusi yang adil untuk semua parti komponen negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata ini kerana semua parti mempunyai tanggungjawab dan cita-cita untuk bertanding di mana yang boleh.

“Bagaimanapun, kita dalam BN sentiasa bincang apa yang terbaik untuk semua,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Ketua Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada parti Gerakan mempunyai peluang bertanding di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 berikutan kemasukan beberapa ahli politik berpengalaman yang turut memegang jawatan penting dalam Kabinet negeri sekarang di dalam parti itu.

Musa, yang juga Pengerusi BN Negeri, berkata selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pemilihan calon untuk dipertandingkan berdasarkan keupayaan untuk bekerja keras dan komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan.

“Kita tidak mahu banyak bercakap. Kita mahu banyak bekerja kerana rakyat menilai keupayaan kita.

“Mereka (rakyat) akan tanya sama ada seseorang calon atau sesuatu parti itu baik untuk dipilih untuk mewakili mereka atau memberi perkhidmatan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Beliau menasihatkan semua parti supaya sentiasa bekerja keras dan memastikan rancangan pembangunan BN dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual bagi mencapai sasaran dan memenuhi kehendak rakyat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita