Rebut Kerusi Pilihanraya… DAP Ada Kuasa Jinakkan Salakan PKR, Pas

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pakatan pembangkang yang sudah melaksanakan perancangan dengan melakukan perbincangan untuk pengagihan kerusi sebagai persediaan menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang dilihat semakin didominasi DAP.

Penganalisis politik tempatan, Profesor Dr Shamsul Adabi Mamat melihat bahawa pertelingkahan dalam memastikan kedudukan pembahagian kerusi akan berlaku dengan masing-masing mahu menambahkan jumlah kerusi yang ada berdasarkan kepada perkembangan semasa.

“Sebelum ini Pas memasang angan-angan dengan mensasarkan jumlah 80 kerusi untuk ditandingi pada PRU akan datang berbanding 66 kerusi sebelum ini sedangkan DAP juga mahukan pertambahan jumlah mewakili partinya atas alasan bacaan sikap sekarang yang dikatakan cenderung memberikan sokongan kepada mereka sementara PKR juga tentunya tidak akan berdiam diri apatah lagi selama ini PKR bersifat seperti teras utama pakatan tersebut,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Jelas beliau, Pas tentunya mahukan kawasan-kawasan yang majoriti pengundinya adalah Melayu namun demikian pakatan tersebut akan menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini sebagai garis pengukur iaitu Pas kalah di semua kawasan yang ditandingi sementara PKR tidak mendapat tempat dan DAP beroleh pertambahan sokongan.

“Kebarangkalian perselisihan pendapat tentunya akan berlaku apatah lagi mereka diikat atas nama pakatan yang bukan dibuat berlandaskan pendaftaran sebagaimana UMNO dan anggota kompenan Barisan Nasional (BN), dan ketiga-tiga parti ini akan bertanding atas lambang masing-masing malahan tidak mustahil jika berlaku pertentangan sesama sendiri sebagaimana dalam PRN Sarawak,” ujarnya.

Menerusi PRN Sarawak April lalu, PKR dan DAP bertanding menentang antara satu sama lain di beberapa kerusi utama hingga menimbulkan perbalahan antara mereka.

“Walaupun pada umumnya mereka sepakat dan melakukan rundingan tetapi mereka akan mengikut ketetapan yang dilakukan oleh parti masing-masing apatah lagi DAP  yang kelihatannya semakin angkuh dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan pedas dan menghina.”

Sebelum ini akhbar Nanyang Siang Pau terbitan 18 Julai 2011 menyiarkan artikel mengenai komen seorang pemimpin DAP di laman sosial, Facebook bahawa parti itu akan menang pada PRU Ke-13 walaupun ia meletakkan seekor anjing menjadi calon bagi menentang Barisan Nasional (BN).

“DAP bertindak sebagai jaguh dalam pelbagai isu yang ditimbulkan oleh Pas sedangkan PKR lebih bersikap berdiam diri khususnya dalam hal-hal membabitkan isu murtad, Bukit Kepong, arak, judi dan sebagainya. Hal-hal tersebut semuanya ditimbulkan sendiri oleh Pas tetapi yang mendapat untung adalah DAP.”

Katanya lagi, Pas sewajarnya memikirkan kaedah terbaik dalam pelaksanaan pakatan tanpa perlu bersikap alah hinggakan menjadikan partinya seperti Pak Kaduk yang akhirnya hanya ‘menang sorak sedangkan kampung tergadai’.

“Seharusnya Pas memberikan peranan yang besar dalam pengagihan kerusi tanpa perlu menjaga hati kawan atau mana-mana pihak sebagaimana kempen dan konsep yang mereka laksanakan sedangkan dengan ikatan pakatan tersebut dapat dilihat bahawa yang mendapat keuntungan adalah DAP.”

Beliau yang juga pensayarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia menjelaskan bahawa kempen PRU 2008 lalu dalam pakatan pembangkang didominasi oleh Pas tetapi yang mendapat kemenangan besar adalah DAP.

“Sekarang ini kita lihat bagaimana Pas turun berceramah dan melakukan propaganda atas pelbagai perkara sedangkan DAP hanya duduk diam sementara PKR lebih kepada ‘nasi tambah’ sahaja.”

Tambahnya lagi, permainan politik dalam pakatan pembangkang itu sendiri menjadikan DAP semakin angkuh ekoran kuasa yang ada apatah lagi bacaan sikap yang mereka lakukan melihat bahawa sokongan masyarakat Cina cenderung kepada mereka.

“Sekiranya DAP terus takbur maka sudah pasti ia akan kembali memakan diri apatah lagi DAP cenderung dalam membangkitkan isu-isu perkauman sedangkan pengundi-pengundi akan membuat pilihan berdasarkan keyakinan dan keputusan semasa.

“Pada 2008, banyak undi protes yang dikeluarkan sehingga memberi kemenangan kepada pembangkang tetapi kali ini keadaan sudah berubah dan mereka mula memikirkan apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah lakukan, maka sokongan kepada BN akan kembali.” – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita