Pembangkang Sengaja Cabar Perlembagaan Untuk Pesongkan Pemikiran Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Sept. – Pelbagai isu sensitif menjadi bahan politik pakatan pembangkang yang bukan sahaja menyebut berkaitan hak keistimewaan orang Melayu, bahasa kebangsaan, agama Islam malahan sejak kebelakangan ini fakta sejarah turut dikaitkan dan yang terbaru bendera negara dijadikan korban.

Pensyarah Sosiobudaya Melayu Universiti Malaya, Profesor Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan melihat bahawa isu-isu tersebut sengaja ditimbulkan oleh pembangkang sebagai cara untuk mencabar tahap keberkesanan dan kecenderungan kerajaan untuk menanganinya.

“Sekarang ini pembangkang berpegang kepada prinsip menguji kemampuan kerajaan hingga ke batas-batas terakhir dengan ujian tersebut dibuat melangkaui pemikiran supaya tidak mampu untuk melakukan serangan balas pada mereka, kerana itulah mereka melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan apa yang sewajarnya,” katanya.

Terang beliau, sebenarnya sistem pendemokrasian di Malaysia berjalan dengan lancar dan sempurna kerana ia memberi ruang bukan sahaja kepada golongan bumiputera tetapi semua masyarakat dapat memainkan peranan sama rata, menikmati dan melaksanakan tanggungjawab harian tanpa ada garis sempadan.

“Lihatlah bagaimana permainan pembangkang yang memperkatakan tentang Islam supaya akhirnya wujud prasangka terhadap agama yang menjadi agama rasmi negara dan kemudiannya akan memberi impak negatif kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan.

“Isu berkaitan gereja di Damansara Utama, persoalan penggunaan kalimah Allah, isu murtad dan sebagainya diperbesar-besarkan oleh pembangkang kerana mahu mewujudkan krisis yang akhirnya akan mempersoalkan tentang demokrasi negara,” katanya.

Jelasnya, niat jahat pembangkang adalah untuk merombak satu sistem yang telah mantap dengan memburuk-burukkan apa yang terkandung di dalamnya.

“Pembangkang telah menggunakan pelbagai cara untuk menghancurkan sistem demokrasi negara termasuklah mengemblingkan demokrasi jalanan dengan harapan akan muncul satu revolusi sebagaimana di negara-negara Timur atau seperti di Indonesia tetapi malangnya ia tidak berjaya.

“Apa yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang adalah untuk melontarkan keraguan rakyat terhadap kerajaan yang ada supaya mereka berasa tidak yakin dan tidak boleh dipercayai, justeru cara ini dimanfaatkan untuk memecahbelahkan pemikiran rakyat keseluruhannya.”

Tambahnya lagi, peranan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memainkan bahasa dan perkataan misalnya bukan ketuanan Melayu tapi ketuanan rakyat adalah antara inisiatif bagi membawa keruntuhan kepada sistem dan kerajaan yang ada sekarang ini.

“Pembangkang akan cuba mengasak dengan pelbagai perkara malahan pada masa akan datang dan menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13, tentunya banyak lagi perkara yang akan dilakukan bagi mengekalkan momentum ke arah perubahan.

“Pemesongan pemikiran rakyat adalah agenda jahat pembangkang bagi memastikan kerajaan beralih tangan tanpa mereka memikirkan pengisiannya dan implikasi akan datang,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita