“Siapa Yang Penakut… Anwar Patut Cermin Muka Dulu” – Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Sept – “Siapa sebenarnya yang takut… Anwar patut cermin muka dulu.  Kalau dia (Anwar) sendiri pilih beri keterangan bela diri dari kandang tertuduh kerana takut disoal balas pihak pendakwaraya, ini pula nak paksa orang yang tiada kena mengena datang ke mahkamah.

“Dia jangan lupa, dia juga tak berani bersumpah laknat dan beri DNA, sekarang dia tuduh orang lain pula penakut“, ujar bekas Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zahid Mat Arip.

Tegas beliau lagi tindakan Anwar untuk mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya dalam kes liwat yang dihadapi tidak lebih sekadar untuk mempolitik dan mensasikan kes liwat tersebut.

“Kenapa dia pilih Perdana Menteri sedangkan ada lapan orang lagi yang menawarkan diri untuk membantu mahkamah menegakkan keadilan dalam kes liwat yang dihadapinya.

“Lapan orang ini bukan calang-calang tapi individu yang cukup mengenali Anwar dan tahu kelakuannya.  Antara mereka itu bekas Setiausaha Sulit Anwar sendiri, Anuar Shaari, bekas peguam Anwar, YB Zulkifli Nordin, bekas rakan permainan tenisnya, Nallakaruppan, bekas Setiausaha Politik, Ezam Mohd Noor, bekas Setiausaha AMK, SD Johari, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin, bekas Ahli Parlimen PKR, Gobalakrishnan dan saya sendiri.

“Orang-orang inilah yang patut Anwar panggil bukan Datuk Seri Najib“, katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan mahu mengetepikan sapina yang menghendaki mereka menjadi saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid seterusnya berkata apa yang dilakukan Anwar sekadar umpama meludah ke langit, terkena muka sendiri.

“Sekurang-kurangnya Najib selepas dituduh kononnya terlibat dalam kes Altantunya terus bersumpah di masjid di Permatang Pauh iaitu di kawasan Anwar sendiri menafikan tuduhan itu tapi Anwar tidak berani lakukan walaupun di masjid di Pekan.

“Inilah putar belit Anwar yang semakin menjerut lehernya sendiri“, ujarnya.

Untuk rekod selain tidak berani melakukan sumpah dan menyerahkan DNA, Anwar Ibrahim juga memilih untuk memberi keterangan di kandang tertuduh bagi membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 22 Ogos lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata Anwar mempunyai tiga pilihan memberi keterangan di kandang saksi di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau; memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi  sebarang keterangan. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita