Transformasi PM Adalah Atas Kepercayaan Tuntutan Zaman – Khairy

KUALA LUMPUR 22 Sept – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu yakin transformasi dan pembaharuan yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya pemansuhan Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) serta beberapa pindaan lain amat penting untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa.

Menurut beliau perubahan berkenaan bukanlah dibuat atas desakan mana-mana pihak tetapi ianya adalah satu kepercayaan tuntutan zaman bagi membawa perubahan untuk kepentingan semua pihak.

“Bagi saya generasi muda dalam UMNO, saya anggap pindaan kepada ISA dan juga beberapa pindaan lain rang undang-undang amat penting untuk kita sesuaikan perjuangan UMNO dan BN kepada generasi muda dan saya lihat sepertimana yang disebut PM, UMNO dan BN sentiasa berada di hadapan keluk perubahan.

“Dan bukannya kita buat atas desakan mana-mana pihak tetapi kita buat kerana inilah yang apa yang kita percaya satu tuntutan zaman untuk bawa perubahan.

“Contohnya soal ISA saya antara pemimpin UMNO daripada dulu telah mendesak dan mengusulkan supaya akta ini dipinda dan apabila PM telah membuat pengumuman akan dimansuhkan akta ini, kita menyambut baik,” katanya.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memberi penjelasan dan penerangan agar pembaharuan yang dibawa oleh Datuk Seri Najib itu difahami di peringkat akar umbi.

“Cuma kita sekarang ini kena bagi penjelasan sikit kepada ahli kita supaya mereka memahami kenapa PM telah mengumumkan langkah untuk mansuhkan ISA ini. Mungkin ada pihak yang anggap ISA ini penting untuk keselamatan negara.

“Kita kena beritahu kepada mereka bahawa keselamatan tidak terjejas dan saya yakin sekiranya setiap ahli UMNO atau pemimpin UMNO yang lain memainkan peranan untuk yakinkan ahli, mereka akan menerima dengan baik dan terima semua transformasi dan perubahan serta pembaharuan yang dibawa oleh PM,” katanya. -MediaUMNO

 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita