Hukum Hudud Hanya Gimik Politik Pas Ikut Skrip DAP

MELAKA, 23  Sept – Pelaksanaan hukum hudud yang dicanangkan semula Pas tidak lebih sekadar satu gimik politik yang sebelum ini ditentang habis-habisan rakan pakatannya DAP.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam berkata jika sebelum ini Pas disergah DAP dan akhirnya mengalah, isu yang ditimbulkan semula ini juga tidak akan ke mana kerana Pas takut kepada DAP.

“Jika Pas serius dan berani Pas patut gubal undang-undang dan bentangkan dalam sidang Dun di negeri di bawah pakatan pembangkang untuk mendapat persetujuan sebelum bawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Jangan minta persetujuan kerajaan BN sebaliknya dapatkan persetujuan di kalangan  negeri pembangkang dulu … inilah gimik politik  dan ia pasti tidak akan berjaya”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Justeru beliau percaya apa yang dilakukan Pas sekarang hanyalah sandiwara yang skripnya telah pun disediakan DAP.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula menyifatkan pertembungan pendapat tentang hukum hudud antara Pas & DAP yang ditimbulkan hanyalah permainan politik sempit pakatan.

“Kita percaya Pas akan beralah kepada tuntutan DAP seperti selalu”, katanya selepas mengadakan Hari Bertemu Pelanggan di DUN Pangkor di sini, hari ini.

Pas baru-baru ini menyatakan mereka tetap akan menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud biarpun tidak mendapat sokongan daripada sekutunya dalam pembangkang iaitu DAP.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak kisah sekiranya DAP mahu meninggalkan pakatan pembangkang disebabkan perkara tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata, Pas tidak perlu lagi berdialog dengan DAP kerana ia telah diadakan beberapa kali, malah pemimpin parti itu telah memahaminya. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita