Tiga Kepala, Tiga Agenda Peribadi Buat Pembangkang Runcing Bahagi Kerusi

KUALA LUMPUR 23 Sept – “Kalau perkara kecil seperti soal pengagihan kerusi pun bercakaran dan tidak mencapai kata sepakat, apatah lagi melibatkan soal dan dasar negara jika pembangkang memerintah negara kelak.

“Keadaan ini berlaku kerana dalam pakatan pembangkang ada tiga parti, tiga kepala dan  tiga agenda peribadi”

Itulah gambaran dan hakikat bagaimana pembangkang di negara ini hanya tamakkan kuasa dan mementingkan nafsu  politik masing-masing tanpa memikirkan tugas dan tanggungjawab yang sebenar iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat, kata Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

“Saya tidak pelik perkara ini berlaku kerana seperti yang diketahui umum sejak daripada dulu lagi, PKR, DAP dan Pas yang mempunyai ideologi yang berlainan antara satu sama lain tidak mampu untuk duduk semeja.

“Ini kerana masing-masing sudah melihat kepada nikmat dunia setelah diberikan sedikit kuasa untuk memerintah di beberapa negeri dan perkara itulah menyebabkan masing-masing tidak mahu mengalah dan berusaha untuk menonjolkan diri antara satu sama lain,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perbalahan antara DAP dan PKR berhubung agihan kerusi di Johor yang semakin parah dengan Ketua DAP Johor Dr Boo Cheng Hau mengisytiharkan bahawa parti itu tidak akan duduk di meja rundingan bersama PKR sekali lagi.

Difahamkan bukan setakat Johor tetapi beberapa negeri lain turut mengalami peristiwa yang sama dan perkara itu turut berjangkit kepada pengagihan kerusi di peringkat  Parlimen.

Shamsul seterusnya percaya perkara itu akan berpanjangan sehinggalah ke pilihan raya umum akan datang dan perkara itu tidak akan dapat disembunyikan walapun pihak pembangkag cuba menutup isu tersebut.

“Kawasan saya sendiri pun berlaku soal berkenaan dan sebab itulah mereka tidak boleh sembunyikan perkara ini yang berlaku di semua peringkat. Kalau peringkat atas berlaku saya percaya di peringkat bawah lagilah bergolak.

“Saya percaya akan berlaku pertembungan sesama mereka gara-gara kuasa dan mahu memperlihatkan siapa yang yang lebih berkuasa di antara mereka,” katanya.

Beliau seterusnya memberitahu berbanding dengan Barisan Nasional (BN), pembangkang sampai bila-bila pun  tidak akan dapat menandingi kesepakatan terjalin antara parti komponen di dalam BN.

“Itulah kelebihan kita dan itu adalah antara kelemahan pembangkang. Apa pun kita lihat bagaimana mereka akan terus bercakaran gara-gara kuasa dan kepentingan politik,” ujarnya. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita