Wanita Gombak Tumpu Kunjungan Terus Ke Rumah Untuk Dampingi Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Sept. – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak, Datin Sharifah Salmah Syed Agil memaklumkan bahawa program-program yang dilaksanakan sentiasa diterapkan dengan semangat silaturrahim dan hubungan kekeluargaan agar ia dapat menarik masyarakat untuk memahami perjuangan parti.

Katanya, UMNO bergerak bukan sahaja berteraskan kepada misi dan visi perjuangannya tetapi ia juga menjalin permuafakatan dalam hasrat menyampaikan matlamat kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita mampu menyentuh hati rakyat melalui kunjungan-kunjungan dalam kelompok-kelompok kecil dengan mendekati, berbual dan beramah mesra kerana rakyat dapat merasai bahawa UMNO yang menjadi tunjang BN benar-benar mengambil berat keadaan mereka,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, program-program yang dilaksanakan oleh Wanita Bahagian tersebut juga akan dipastikan bahawa ia memberi manfaat bukan saja kepada parti tetapi masyarakat setempat turut mendapat info hasil penerangan yang disampaikan.

“Sudah pasti tumpuan kita akan lebih terarah kepada golongan-golongan yang memerlukan, yang kurang bernasib baik, fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dan sebagainya.”

Beliau berkata demikian ketika dalam program menziarah bakal-bakal haji yang akan menunaikannya pada musim haji akan datang.

“Setiap tahun kita akan lakukan program yang sama iaitu berkunjung ke rumah bakal-bakal haji dan tahun lalu kita telah berjaya menemui lebih 200 orang bakal haji, Insya-Allah tahun ini kita juga akan laksanakan perkara yang sama,” terangnya.

Sebelum ini, Pergerakan Wanita UMNO bahagian tersebut telah menjayakan program Jalinan Rakyat yang melibatkan semua anggota masyarakat dan berkumpul dalam satu komuniti dengan suasana harmoni dan sejahtera. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita