20 Tahun Bersandiwara, Pas Kembali Isu Lapuk

KUALA LUMPUR, 26 Sept. – Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menegaskan, Kelantan kini dalam usaha untuk memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum di mahkamah syariahnya adalah satu lagi sandiwara politik pembangkang dalam mendapatkan populariti dan sokongan pengundi.

Bagi pengalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek mempersoalkan keikhlasan dan kesungguhan Nik Aziz yang telah menjadi Menteri Besar di Kelantan selama empat penggal.

“Kenapa baru sekarang? Kenapa setelah berpuluh-puluh tahun terajui Kelantan tapi sekarang baru nak masukkan enakmen hudud dalam perundangannya sedangkan isu berkaitan hudud ini telah lama menjadi perjuangan mereka sehinggakan sudah jadi kiasan ‘tak ada hudud bukan Islam’, betulkah?”

Polimek berkaitan hudud mula mendapat perhatian kembali setelah Nik Aziz menyuarakan untuk melaksanakannya sementara Pengerusi DAP, Karpal Singh melontarkan bantahan dengan disokong oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Hudud ini cuma mainan pembangkang dalam cubaan mendodoikan rakyat dengan irama mereka sedangkan jika benar Pas mahu melaksanakannya maka sudah pasti ia diusahakan telah lama dahulu melalui perundangan dan mengikut prosedur yang betul, mereka kan ramai golongan profesional.

“Untuk melaksanakan hudud, pindangan boleh dibuat dan dilaksanakan sebagaimana yang Nik Aziz mahu lakukan melalui kelulusan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, tentunya bukan kali ini tetapi dibuat sebelum ini semasa mereka menguasai DUN Kelantan lebih dua pertiga, maka mudahlah dilaksanakan,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) meragui setiap kata-kata Nik Aziz yang mahu melaksanakan hudud apatah lagi ia ditimbulkan ketika semua parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

“Pas memerintah di Kelantan dah lebih 20 tahun, mereka ada ramai golongan profesional, pakar undang-undang, pakar sejarah dan macam-macam lagi pakar termasuklah Mat Sabu jadi kenapa sehingga hari ini hukum hudud tersebut tidak dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh Pas wujud dan berkerajaan di Kelantan, Pas masih belum laksanakan hudud maka boleh disimpulkan bahawa selama ini mereka sendiri mengakui dan mengiktiraf pelaksanaan BN dalam pentadbiran yang mana telah membawa Malaysia muncul sebagai sebuah model negara Islam di peringkat global,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, hukum hudud bukanlah sesuatu yang melambangkang keseluruhan dalam Islam sebaliknya ia ibarat setitik air di lautan yang luas.

“Adakah selama ini Pas tidak melaksanakan hukum hudud kerana menerima pendirian BN apatah lagi BN sentiasa menjalankan tuntutan yang wajib bagi sebuah kerajaan Islam iaitu memastikan semua kebajikan rakyatnya terjamin, menjaga kemurnian Islam dan mengembangkan syiarnya selain memakmurkan rakyat tanpa mengira bangsa, etnik dan warna kulit.”

Jelasnya, Pas kembali menimbulkan isu lapuk mereka untuk dijadikan senjata dalam pilihan raya akan datang apatah lagi sejak kebelakangan ini keyakinan rakyat terhadap mereka semakin luntur ekoran terlalu tunduk kepada rakan sekutu dalam pakatan pembangkang selain aib yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpinnya.

“Nik Aziz cakap tentang hudud kerana mereka cari peluang, kononnya bergaduh dengan Karpal Singh dan Guan Eng tetapi itu semua dirancang kerana bermotifkan politik murahan.

“Adakah parti dan pemimpin sedemikian yang mahu diangkat sedangkan banyak lagi perkara lain yang mesti diutamakan,” katanya kepada UMNO-Online. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita