Guan Eng Jangan Sabotaj Johor

JOHOR BAHRU 25 Sept. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diingatkan agar lebih berhati-hati dan tidak memburuk-burukkan negeri lain di luar negara dalam usaha menarik pelaburan asing ke negeri yang ditadbir DAP itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dakwaan kononnya penculikan banyak berlaku di Johor adalah tidak benar sebaliknya gambaran banyak kes jenayah wujud kerana media tempatan sering membuat liputan mengenainya.

“Di negara lain, media tidak begitu fokus kepada perkara-perkara seperti ini kerana mereka tahu ia menjejaskan pelancongan dan ekonomi,” katanya kepada pemberita dalam program Jom Ronda Bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Dataran Mawar, Pasir Gudang, di sini semalam.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi, turut menyifatkan tindakan Guan Eng sebagai meniru kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh bekas Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sebelum ini.

“Nampak sangat apa yang dia lakukan adalah satu ‘echo’ (meniru) kepada apa yang pernah disebut-sebut Lee Kuan Yew,” katanya lagi.

Beliau mengingatkan Guan Eng supaya tidak melakukan tindakan yang boleh dianggap sebagai cuba sabotaj Johor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita