Pas Kini Tersepit Akibat Permainan Politik Sendiri

SAINTS PETERSBURG,  26 Sept – Perkembangan terbaru yang berlaku dalam Pas kebelakangan ini boleh diibaratkan seperti ‘retak menanti belah’ dalam hubungan mereka bersama DAP di pakatan pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Shabery Chik, berkata Pas kini terpaksa kembali kepada perjuangan asal mereka iaitu kepada perjuangan negara Islam untuk meraih sokongan di kalangan pengundi Melayu.

“Dari tahun 80an, Pas cuba dapatkan undi bukan Melayu, sehingga mereka sanggup tukar perjuangan mereka daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

“Mereka terpaksa kendurkan idealogi mereka hanya untuk dapatkan undi  bukan Melayu sehingga menyebabkan terpaksa kendurkan perjuangan asal penubuhan parti itu.

“Mereka menikmati hasilnya pada pilihan raya 2008, tetapi kini terasa tekanannya apabila kehilangan sokongan daripada penyokong setia kepada perjuangan asal,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Menurutnya, dengan perubahan yang dilakukan itu, penyokong mereka melihat parti itu kini bagaikan tunduk kepada apa sahaja kemahuan DAP sehingga terpaksa mengorbankan perjuangan parti hanya untuk kepentingan politik.

“Penyokong mereka kabur dan tidak tahu apakah sebenarnya perjuangan, mereka merasakan perjuangan mereka kini longgar sebab itu mereka terbahag dua.

“Kita lihat kumpulan muda masih inginkan kepada perjuangan asal, tetapi kumpulan pemimpin lama nampaknya lebih kepada kepentingan politik kerana khuatir akan hilang nikmati yang dirasainya sekarang. Sebab itu mereka terpaksa bersama DAP dan PKR, hanya untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Perubahan yang berlaku pada Pas sekarang juga tambah beliau lagi menyebabkan orang Melayu yang cuba mendekati parti itu melihat bahawa parti itu tidak mempunyai perjuangan sebenarnya dan dilihat lebih condong mengikut rentak sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.

Shabery berkata, berikutan itu Pas dilihat cuba kembali kepada perjuangan asal mereka untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu yang menjadi penyokong kuat mereka.

Berikutan perubahan yang cuba dilakukan oleh Pas itu telah menyebabkan timbulnya permasalahan dengan sekutu mereka iaitu DAP sehingga memberi kata dua kepada Pas dalam hubungan di dalam pakatan pembangkang.

Keadaan yang berlaku tidak membawa perubahan sokongan kepada DAP sebaliknya akan memberi kesan kepada Pas dalam pilihan raya akan datang dan PKR dilihat kabur dalam perjuangan mereka. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita