Agenda Transformasi Bermatlamat Menyemai Daya Tahan Dan Penyesuaian

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata agenda transformasi kerajaan bermatlamat untuk memupuk daya ketahanan dan penyesuaian negara ini dari kejutan yang tidak dijangkakan dan bukan untuk menebat negara ini dari pelbagai perubahan.

“Fenomena ketidaktentuan ini menjuruskan kepada sesuatu yang kebiasaan yang meletakkan ekonomi terdedah kepada kejutan itu, tetapi jika kita melihat ekonomi sebagai satu sistem, kita akan mengetahui bahawa hanya ekonomi yang stabil dan berdaya tahan akan mampu mengharunginya,” katanya semasa menutup Forum Megatrends Khazanah 2011 hari ini.

Katanya bagi membina dan mewujudkan satu sistem yang berdaya tahan dan pada masa yang sama mempunyai keanjalan dan tangkas malah pantas, kerajaan perlu mengenepikan yang kaku di dalam sistem dan pada masa yang sama membina kapasiti dan keupayaan mereka yang mengendalikannya.

Pada masa yang sama, para peneraju enterpris, sama ada mereka yang di dalam perniagaan atau politik, perlu menyedari ketidaktentuan yang mereka hadapi, katanya.

Perdana Menteri berkata sejarah yang lepas menunjukkan bahawa pasaran yang utama juga boleh gagal dan gagal dengan teruk, sehinggakan memerlukan kerajaan masuk campur dan menyediakan kepimpinan.

Bagaimana pun, Najib berkata dengan mempersetujui untuk mengenepikan kumpulan berfikiran sempit dan bertindak kerana cintakan negara semata-mata, rakyat Malaysiaboleh mencapai lebih banyak matlamat dan yang lebih jauh.

“Negara ini bukan sahaja perlu berubah — dengan menukar peranan dan keberkesanan kerajaan, lojik ekonomi kita dan cara kita hidup — kita perlu akur untuk berubah bersama-sama,” katanya.

Tanpa persetujuan ramai itu, negara dan rakyat perlu melupakan peluang untuk menjadi satu negara maju dan masyarakat yang matang dan bagi menempatkan diri mereka di kalangan masyarakat negara-negara, katanya.

“Jika anda bertanya saya, sama ada saya pesimis, saya ingin menyatakan bahawa sebagai satu individu, saya mempunyai keyakinan besar terhadap Malaysia.”

“Saya percaya, kita boleh mencapai harapan dan aspirasi dan saya sangat mempercayai bahawa kita diambang mencapai satu Malaysia baharu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita