Tutup Mulut Tanda Tak Hormat, Tutup Malu Tuding Pada UMNO

KUALA LUMPUR, 27 Sept. – Isu pelaksanaan hukum hudud yang mahu dilakukan oleh Pas menjadi kontroversi sehinggakan semua pemimpin pakatan pembangkang diarah mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pelaksanaannya dan kemudian membuat tuduhan pada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedangkan ia tidak berkait langsung.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas pakatan pembangkang yang mengatakan bahawa kontroversi tersebut dimulakan oleh UMNO sebagai alat untuk melaga-lagakan Pas dengan DAP.

“Itulah perangai pembangkang, tiap kali ada isu yang kontroversi maka dia akan tuding jari pada orang lain, salahkan UMNO dan BN walhal diri sendiri buat onar, lakukan aib dan mahu tutup malu kerana dah terlajak kata maka itulah helah untuk selamatkan diri,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Setiausaha Agung BN menyelar sikap pembangkang yang gagal menangani krisis dalaman antara mereka sehinggakan terpaksa mengeluarkan arahan tutup mulut serta merta kepada anggota sekutu pembangkang.

“Memang memalukan apabila apa yang mahu dilaksanakan dapat tentangan secara berterusan dan dibuat dengan terbuka oleh kepimpinan tertinggi antara parti tetapi apa yang mahu dihairankan kerana antara DAP dan Pas sememangnya tidak ada persamaan, bukan hanya dari segi prinsip dan idealogi malahan sejak dari awal penubuhan kedua-dua parti ini langsung tidak pernah sehaluan apatah lagi jika berkait dengan Islam.”

Katanya, apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan dalam Muktamarnya pertengahan tahun lalu akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen pakatan pembangkang dan bukannya Negara Islam maka secara tidak langsung ia telah ternyata lari dari landasan awal perjuangannya dan tunduk pada Dap.

“Inilah kononnya kepimpinan ulamak yang sebenarnya. Mereka sudah tak boleh lari kerana telah terikat dengan kawan-kawannya apatah lagi jika Pas mahu buat negara Islam dan laksanakan hudud maka kawannya iaitu DAP akan kata langkah mayat aku dulu, jadi apabila perkara berkaitan hudud ini diungkit kembali tentulah ada sebabnya,” katanya.

Jelasnya, ini menunjukkan bahawa pakatan pembangkang adalah sebuah parti yang tidak serius dengan agenda sendiri dan menjadikan politik sebagai bahan permainan.

“Mereka (Pas) bukan mahu bangunkan negara Islam dan bukan untuk menegakkan syiar Islam malahan kita boleh tanya balik pada mereka kerana selama mereka jadi kerajaan di Kelantan 20 tahun dan kemudiannya sekarang di Kedah, sudah berapa banyak surau atau masjid yang kerajaan mereka bangunkan?”

“Inilah bezanya dengan UMNO yang sememangnya parti Islam terbesar tetapi tidak pernah pergunakan Islam untuk dipolitikkan sebaliknya kita laksanakan kehendak-kehendak Islam dari segi pentadbiran negara, membawa keadilan antara kaum sebagaimana yang dituntut ajaran Islam iaitu apabila orang-orang yang bukan Islam ada dan duduk dalam negara maka kamu mesti jaga mereka. Itu yang UMNO lakukan.”

Tegasnya lagi, inilah tembelang pembangkang yang akan berterusan berdolak-dalik dalam menyatakan pendirian mereka berkaitan Islam, gagal mewujudkan sifat harmoni dan seringkali bertelingkah.

“Parti-parti pembangkang inilah sebenarnya yang melakukan banyak penyelewengan dan pengkhianatan kepada rakyat dengan melakukan penipuan demi penipuan untuk mengekalkan populariti di kalangan masyarakat,” ujarnya.

Katanya lagi, sewajarnya pakatan pembangkang ini tumpukan kepada pentadbiran sendiri dengan membuktikan kepada rakyat atas apa yang telah mereka janjikan dahulu termasuklah di Pulau Pinang apabila Ketua Menteri Lim Guan Eng gagal membela masyarakat miskin malahan menipu rakyat dengan pelbagai helah.

“Nilai sahajalah asas dan hala tuju perjuangan antara tiga parti yang bersekutu membentuk sebuah negeri yang akhirnya menjadi kucar-kacir . Parti sedemikiankah yang akan didukung untuk anak bangsa dan generasi pewaris akan datang?”

Tegas Tengku Adnan lagi, agenda antara ketiga-tiga parti pembangkang tiada lain selain menjadikan rakan sekutu sesama mereka sebagai batu loncatan untuk angan-angan menumbangkan Kerajaan Pusat dan UMNO yang menjadi tulang belakang dalam pentadbiran negara.

“Yang sedia ada pun runtuh dan yang bukan-bukan pula direncananya sedangkan untuk menjadikan sebuah negara maju seperti hari ini bukanlah dengan sekelip mata sebagaimana yang cuba dijampi pakatan campuran,” jelasnya merujuk kepada negeri-negeri tadbiran pembangkang.

Selaras dengan itu, beliau mengingatkan rakyat agar jangan terpengaruh dengan putar belit parti-parti pembangkang dalam usaha mereka memanipulasi isu dan mencipta pelbagai propaganda untuk kepentingan politik semata-mata. – MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita