UMNO Bahagian Sepang Jaga Pengundi Tradisi, Dampingi Pengundi Baru

SEPANG, 27 Sept – Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Seri Ir. Mohamad Zin Mohamed berkata  menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 13, jentera pilihan raya bahagian tersebut telah merangka pelbagai strategi untuk memastikan kemenangan semasa PRU lalu dapat dikekalkan sekaligus merampas kembali negeri Selangor dari pakatan pembangkang.

Katanya, bagi merealisasikan impian tersebut, arahan telah dikeluarkan agar semua jentera jangan hanya memberi tumpuan kepada penyokong tradisi sahaja kerana agenda penting adalah untuk menambah bilangan undi.

“Jadi kita harus menumpukan perhatian kepada pengundi baru kerana mereka inilah yang akan membantu kita memenangi kerusi dengan majoriti yang lebih besar.

“Tapi ini bukan bermakna kita mengabaikan penyokong tradisi tetapi dalam memahamkan perjuangan UMNO, kita harus memberi tumpuan kepada pengundi baru. Golongan ini harus diberi input yang betul agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah pembangkang yang sering memburukkan parti dan kerajaan,” ujarnya.

Mohamad Zin juga mahu setiap ahli UMNO menghayati dan mengambil iktibar dari apa yang telah terjadi pada tahun 2008.

“Lihatlah apa yang terjadi di Selangor apabila kita hilang kuasa. Pergerakan kita untuk membela rakyat terbatas dan ada sahaja kekangan.  Oleh itu kita harus bangkit dan damping rakyat untuk memastikan PRU 13 akan datang, Selangor kembali ke pangkuan parti.

“Masyarakat di negeri ini juga harus mengambil iktibar setelah tiga tahun hidup di bawah pimpinan PKR. Adakah PKR mampu melakukan yang lebih baik dari Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya. Rasanya, masyarakat sudah semakin bijak menilai dan tahu membezakan cara pentadbiran kedua-dua parti.

“Berilah jawapan di PRU nanti kerana rakyat berhak menentukan siapa yang layak memegang tampuk pemerintahan. Cuma nasihat saya, jangan tersalah pilih sehingga masa depan anak bangsa kita tergadai,” jelasnya.

Sepanjang tiga tahun memerintah Selangor terang beliau lagi , pakatan pembangkang tidak lekang dengan pelbagai isu dari isu pasir, kuil, gereja dan kini isu penjualan bangunan PKNS pula.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Selangor termasuk lebih kurang 170,000 pengundi muda di Selangor, sedarlah dan bela nasib negeri Selangor. Golongan muda inilah bakal pemimpin negara. Jangan sampai Negeri Selangor yang kaya dengan khazanah bumi ini terus menjadi ‘miskin’ dan rakyat hidup tersepit,” ujarnya lagi. –MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita