Tiada Kompromi, Jais Tegas Tidak Keluarkan Tauliah Kepada Ahli Politik

SHAH ALAM, 28 Sept – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tegas dengan keputusannya untuk tidak mengeluarkan tauliah kepada ahli politik yang mahu berceramah atau menyampaikan tazkirah di masjid dan surau di negeri itu.

Pengarahnya Marzuki Hussin berkata Jais tidak akan berkompromi walaupun ada pihak yang meminta supaya perkara itu diteliti semula.

Tindakan untuk tidak mengeluarkan tauliah kepada ahli politik itu adalah selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid dan surau tidak dijadikan tempat berpolitik, katanya di sini hari ini.

“Mereka (ahli politik) boleh memohon tetapi jawatankuasa tauliah akan mempertimbangkan mengikut peraturan sedia ada sebagaimana yang dititahkan oleh Tuanku.

“Popular tidak popular tidak timbul sebab sesiapa yang memohon tauliah kita akan ikut peraturan biasa,” katanya yang ditemui pada Majlis Aidilfitri di Bangunan Sultan Idris Shah.

Mengulas mengenai hasrat beberapa pemimpin Pas Selangor yang ingin menemuinya berhubung perkara itu, Marzuki berkata Pesuruhjaya Pas negeri Dr Abdul Rani Osman dan Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad telahpun menemuinya semalam.

Katanya kedua-dua pemimpin Pas itu meminta Jais menimbang semula perkara tersebut, namun seperti yang dimaklumkan sebelum ini jabatan berkenaan tetap dengan keputusannya.

Khalid sebelum ini didakwa menyampaikan tazkirah tanpa tauliah di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, Klang, pada 16 Ogos lepas.

Marzuki pada sidang akhbar 15 Sept lepas mengesahkan anggota parlimen itu akan didakwa mengikut Seksyen 14 (1) Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Mengikut peruntukan seksyen itu, mana-mana pihak yang mengajar tanpa tauliah boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita