Kerajaan Pakatan Di Selangor Sedang Bahagi-bahagikan ‘Harta Perang’

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Kerajaan negeri Selangor kini diibaratkan sedang membahagi-bahagikan `harta perang’ antara mereka, selain menghabiskan aset dan harta yang telah dibangunkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, DatUK Haji Nawawi Mohd Zin berkata, negeri Selangor membangun ketika pentadbiran BN, dari sebuah negeri pertanian  menjadi sebuah negeri yang kaya raya sehingga Selangor menjadi lubuk untuk rakyat negeri lain mencari rezeki.

“Selepas menang PRU12 lalu, apa yang kerajaan negeri buat untuk memakmurkan Selangor. Apa pembangunan yang mereka buat selama mereka mentadbir Selangor.

“Apa jasa mereka melainkan menghabiskan harta dan aset yang telah BN tinggalkan, habis semuanya hendak digadaikan untuk memenuhkan semula kantung kerajaan negeri yang telah dibahagi-bahagikan antara mereka,” ujarnya kepada UMNO-Online  bagi mengulas isu tiga bangunan komersial PKNS iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Menara PKNS Petaling Jaya yang kini dalam proses pengambil alihan oleh ARREIT, sebuah konglomerat pelaburan.

Dalam masa yang sama, Nawawi turut mempersoalkan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

“Sekadar untuk menasihatkan agar jual aset sana, gadai aset sini, habiskan duit PKNS, lesapkan duit Yayasan Selangor, semua orang boleh buat tetapi apa kesannya kepada rakyat negeri Selangor.

“Contohnya, kita difahamkan bahawa  kadar sewa di Kompleks PKNS Shah Alam akan dinaikkan sehingga 100 peratus. Peniaga dan penjaja yang menyewa tentunya akan meraung kerana kezaliman pentadbiran Kerajaan DAP-PKR-Pas Selangor ini. Hampir 80 peratus peniaga dan penjaja di Kompleks PKNS Shah Alam ialah orang Melayu,” ujarnya lagi.

Kerajaan negeri Selangor terutama PKNS tegasnya kini bukan lagi tempat untuk orang Melayu mengadu nasib untuk berjaya dalam kehidupan yang serba mencabar sekarang khususnya dalam dunia peniagaan. -MediaUMNO

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita