Pakatan Pembangkang Hanya “Berjalan Bersama” Untuk Rampas Kuasa

PUTRAJAYA, 29 Sept – Kegagalan pakatan pembangkang untuk mencapai kata sepakat berhubung pelaksanaan hukum hudud selepas mesyuarat tiga jam semalam, membuktikan Pas, PKR dan DAP merupakan parti yang tidak mempunyai konsep pentadbiran negara yang jelas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Timbalan Presiden MCA berkata pakatan pembangkang hanya ‘berjalan bersama’ untuk merampas kuasa tetapi tidak mempedulikan sebarang perkara yang akan berlaku selepas ini.

Katanya kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pakatan pembangkang menghormati pendirian Pas dalam hal itu tetapi pada masa yang sama menerima pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya, jelas menunjukkan beliau tidak mempunyai pendirian yang tegas.

“Anwar juga sudah banyak kali cakap berulang-alik. Pada mulanya sokong hudud, sekarang terbalik. Ini adalah pendirian Anwar yang tidak jelas dan sudah mengaburkan orang ramai,” katanya  di sini hari ini.

Liow mencabar DAP supaya keluar daripada pakatan pembangkang memandangkan parti itu tidak bersetuju dengan cadangan Pas untuk melaksanakan hudud.

“Mereka kata tidak setuju tetapi masih bersama pakatan pembangkang. Jadi kita cabar DAP supaya tinggalkan pakatan pembangkang kerana sudah jelas mereka tidak sepakat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita