Pakatan Pembangkang Akur Kehendak DAP, Tolak Hukum Hudud Pas

KUALA LUMPUR, 28 Sept. – Seperti yang dijangka, Majlis Pimpinan Pakatan pembangkang menolak cadangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud kerana ia berbeza dengan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya dan tidak menepati dasar bersama agenda Buku Jingga.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakatan pembangkang, menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya tetapi pada masa yang sama menghormati pendirian PAS dalam hal itu.

“Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama, ” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pakatan pembangkang selama tiga jam di sini malam ini.

Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketika ditanya sama ada isu hudud akan terus diketepikan pada masa akan datang, Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, gabungan itu tidak ada masalah untuk membincangkan tentangnya kerana berpegang pada prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara.

Isu hudud dibangkitkan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang bercadang untuk melaksanakannya di negeri itu.

Cadangan itu bagaimanapun terus ditentang keras oleh pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh.

Anwar berkata, pakatan pembangkang juga tidak boleh menafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pandangan berhubung isu itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita