Manifesto Pembangkang Berisiko Jejas Hubungan Perdagangan Dengan China

KUALA LUMPUR, 2 April – Manifesto pakatan pembangkang untuk meneliti semula pelaburan dari China adalah tindakan yang merugikan kerana berisiko menjejaskan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata China merupakan ekonomi kedua terbesar dunia yang tidak wajar diabaikan, selain banyak kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan China terlaksana khususnya sejak lima tahun lepas.

“China merupakan pasaran penting negara bagi mengeksport komoditi kelapa sawit dan getah asli. Jumlah nilai eksport kelapa sawit dan produk pertanian berasaskan sawit ke China pada 2017 ialah RM5.73 bilion manakala getah RM2.22 bilion.

“Dalam sektor pelancongan pula, jumlah ketibaan pelancong China pada 2017 ialah 2.12 juta orang dan diunjurkan akan bertambah kepada 2.28 juta tahun ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata dasar pelaburan dan perdagangan negara yang sejajar dengan strategi Inisiatif Belt and Road (BRI) akan menggalakkan pertukaran teknologi, infrastruktur, perdagangan, tenaga, kewangan dan alam sekitar.

“Kerajaan juga menggalakkan pelaburan dalam pelbagai bidang baharu berteknologi tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan menyediakan pekerja mahir berpendapatan tinggi.

“Sebagai contoh, 3,600 rakyat tempatan bakal menjalani latihan industri yang memfokuskan kepada memenuhi keperluan tenaga kerja dalam bidang pembinaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya.

Mustapa berkata pelaksanaan BRI akan memastikan rakyat jelata mendapat faedah daripada penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan kemudahan sosial, taraf hidup lebih tinggi, peluang pekerjaan lebih baik serta lebih peluang keusahawanan.

Katanya pelaksanaan BRI akan terus dipantau rapi bagi memastikan Malaysia menerima manfaat sepenuhnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Lagi Berita